1. Kini Anwar pula perlu bersumpah: Dr M
Berita Harian 16 Ogos 2008 : SERDANG: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu bersumpah mengikut syariat Islam bagi membuktikan kebenaran tuduhan liwat membabitkannya.
Bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (Maha) 2008, di sini, hari ini, beliau berkata, Anwar perlu bersumpah dengan menjunjung al-Quran), bukannya sekadar berceramah mengatakan beliau tidak bersalah.“Kena sumpah betul-betul dengan menyebut nama Allah, baru boleh terima,” katanya.Semalam, bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah laknat menjunjung al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, bahawa dia diliwat Anwar.
Sumpah Saiful tak ikut syariat Islam: Hadi Awang
Berita Harian : IPOH: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyifatkan tindakan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang membuat sumpah laknat bahawa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam sebagai tindakan bodoh dan tidak mengikut syariat Islam.
Ini kerana katanya, cara Mohd Saiful memegang al-Quran ketika lafaz sumpah seperti orang Kristian memegang kitab Bible.Sehubungan itu, katanya, kes liwat berkenaan perlu dibicarakan di Mahkamah Syariah bagi undang-undang qazaf berdasarkan Perlembagaan Perkara 121(1)(a).Sehubungan itu, Abdul Hadi berkata Pas akan tetap menyokong Anwar dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.Beliau juga mendakwa tindakan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul yang meminta Anwar turut bersumpah sebagai orang agama yang tidak tahu mengenai agama Islam.
3. Sumpah pegang Quran tiada dalam Islam: Nik Aziz
Berita Harian : BUKIT MERTAJAM: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam
Nik Aziz berkata perbuatan memegang atau menjunjung al-Quran sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.“Dalam Islam sesiapapun bebas bersumpah untuk membuktikan dirinya benar tapi bukanlah dengan memegang kitab suci al-Quran kerana ia adalah perbuatan orang Kristian yang memegang kitab mereka ketika bersumpah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai rombongan Pakatan Rakyat yang mengiringi calon Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini.Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata tindakan Mohd Saiful bersumpah laknat itu adalah dibenarkan dalam Islam dan kini terpulang kepada keikhlasan pengakuannya bahawa beliau diliwat Anwar.Mengenai saranan supaya Anwar turut bersumpah, Nik Aziz berkata dalam Islam seseorang yang membuat pendakwaan harus bersumpah bahawa dakwaannya adalah benar dan kemudiannya tertuduh perlulah membela diri.Semalam, Mohd Saiful membuat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mendakwa Anwar meliwatnya dalam keadaan paksaan.Anwar pula menyifatkan tindakan bekas pembantu peribadinya adalah satu perbuatan politik kotor untuk menjatuhkannya pada pilihan raya kecil itu.
4.Sumpah Saiful untuk jatuhkan Anwar: Wan Azizah
BUKIT MERTAJAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sumpah yang dibuat Mohd Saiful Bukhari Azlan semata-mata bertujuan menjatuhkan maruah dan karier politik suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, bekas pembantu peribadi kepada Penasihat PKR itu sengaja menimbulkan perkara itu bagi menghalang hasrat suaminya itu daripada memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini
“Sumpah banyak kalipun tapi kalau tiada bukti dan doktor dah sah tiada apa-apa, sumpah dia tak boleh dipakai,” katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Aminuddin Baki di Institut Perguruan Tuanku Bainun, di sini hari ini.Beliau turut mendakwa Mohd Saiful Bukhari tidak mengetahui tujuan sebenarnya dia bersumpah.
ULASAN.
Demikianlah petikan pendapat-pendapat mengenai SUMPAH seorang pemuda bernama Saiful Bukhari. Apakah pendapat-pendapat tersebut rasional atau dalam nada emosi? Marilah kita mengkaji bagaimana sifat dan lagaknya jika pemimpin sudah beremosi.
Pemimpin yang emosional adalah pemimpin yang sangat mudah memperlihatkan perubahan sikap dan wataknya mengikut situasi, sama ada yang menggembirakan atau menyusahkan, sama ada yang seronok atau yang dibenci, sama ada yang disenangi mahupun yang dia meluat.Seringkali emosinya itu tidak dapat dibendung atau dikawal.
Kalau berlaku sesuatu yang disukai, menyeronokkan,yang disenangi dan menggembirakan, diperlihatkan atau diluah atau ditonjolkan keseronokannya secara kelebihan.Begitulah juga sebaliknya terhadap sesuatu yang dibenci, yang tidak disenangi, yang tidak sesuai dengan seleranya, yang dia rasa tidak selesa atau yang dia meluat. Ditunjukkan kebenciannya itu tanpa berselindung
Bagi seorang pemimpin, keterlaluan dalam menonjolkan emosi akan menjatuhkan maruah dan wibawanya, lebih-lebih lagi kalau emosi itu terhadap apa atau siapa yang dibencinya.
Kritikan adalah sesuatu yang amat tidak disenangi oleh para pemimpin. Emosinya sangat tergugat, tersentuh dan tercabar apabila dikritik. Mudah saja melenting, melatah, marah-marah, mempertahankan dirinya dan sekaligus akan menyerang kembali saingannya, pengkritik atau musuhnya.
Adakalanya dia kembali menyerang dengan membuta tuli tanpa usul periksa, tanpa menimbang dan menilai kebenaran sesuatu kritikan. Malah sampai diiringi pula dengan tindak balas menghukum pengkritik.
Alangkah tidak bermaruah apabila didapati bahawa pengkritik itu di pihak yang benar.Tentulah amat sukar untuk menebus kembali kesilapannya itu. Lantas kadang-kadang terpaksa bertindak lebih ganas untuk menutup segala kesilapannya. Ini akan mendatangkan akibat lebih buruk lagi dimana boleh menghakis kepercayaan lebih ramai manusia terhadapnya.
Seorang pemimpin kebenaran yang tidak emosi akan sentiasa membiarkan kritikan itu berlalu begitu saja. Sama ada dirinya di pihak yang benar atau sebaliknya, emosinya tetap terkawal.
Ketenangan itu seringkali membuahkan kesan positif, terutamanya apabila terbukti bahawa dirinya di pihak yang benar. Kalaupun pengkritik tidak menyerah kalah, namun ketenangan itu akan dapat menutup mulutnya atau menjadikan pengkritik itu malu sendiri.
Andainya ada juga benarnya di pihak pengkritik, dengan cara tidak emosi itu dia mengambil langkah mengkoreksi dirinya. Dengan cara itu bertambah lagi tinggi maruah dirinya yang akan menambah kepercayaan manusia kepadanya. Adakalanya terdapat juga kritik yang dilemparkan itu merupakan umpan para musuh. Apabila tidak dapat membendung emosi maka musuh cepat dapat mengenal kelemahan pemimpin tersebut.
Biasanya Pemimpin sejati pembawa kebenaran bayangan Rasulullah SAW itu tidak emosi terutamanya apabila dikritik.Dalam taktik provokasi ini, biasanya musuh sudah menyediakan berbagai perangkap lain. Ramai pemimpin gagal dalam berhadapan dengan kerenah manusia karena menghadapi mereka dengan penuh emosi.


1 comments:
Salam Tuan,
Sebagai rakyat Malaysia yg bertawakal pada Pencipta Alam ini, Saya tidak bersetuju dengan cara sumpah kerana menegakkan sesuatu. Selagi masih ada akal untuk menegakkan sesuatu secara mutlak, kenapa pilih jalan sumpah. Kalau dah tak ada jalan... berserah saja.
Tak tahulah apa reaksi pelajar atau budak bawah umur baca kes jijik dipaparkan di akhbar. Boleh menjejaskan minda mereka.
Catat Ulasan